PENGENALAN PENUBUHAN

MAKTAB RENDAH SAINS MARA BETONG

 

        MRSM Betong telah siap dibina pada tahun 2008. Kewujudan MRSM Betong begitu penting kerana terbinanya sebuah MRSM di bahagian Betong ini begitu sinonim dengan usaaha membangunkan masyarakat bumiputera Sarawak, terutamanya dalam bidang pendidikan di negeri Sarawak. Dari segi geografinya, MRSM Betong terletak kira-kira 8.5 km dari bandar Betong, 70 km dari simpang Sri Aman (kawasan hentian Temudok), 260 km dari bandar Sibu dan 270 km dari bandar raya Kuching, ibu negeri Sarawak.

        Pembinaan Maktab Rendah Sains MARA Betong dapat direalisasikan berkat usaha dan komitmen Timbalan Ketua Menteri Sarawak, YB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Alfred Jabu Ak Numpang selaku ADUN N.31 (Layar) merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Sarawak dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sarawak. Di samping itu, YB Dato' Sri Douglas Uggah Embas selaku Ahli Parlimen P.204 (Betong) merangkap Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia juga telah bersama-sama merealisasikan pembinaan MRSM Betong.

        MRSM Betong merupakan MRSM ke-2 yang telah dibina di negeri Sarawak, Bumi Kenyalang, iaitu selepas pembukaan MRSM Kuching pada tahun 1993. MRSM Betong mula beroperasi pada 17 november 2008 di bawah pentadbiran Pengetua pertamanya iaitu, Encik Mahamood Bin Mat Zain dan dibantu oleh Penolong Pegawai Tadbir kanan, iaitu Encik Andrew Gendang Ak Unya. Pada bulan Disember 2008, Timbalan Pengetua Hal Ehwal Akademik, Encik Rosli Bin Rohani (kini Pengetua MRSM Tawau) dan Timbalan Pengetua Hal Ehwal Pelajar (mantan Pengetua MRSM Mukah), Allahyarham Tuan Haji Che Azid Bin Ahmad telah melapor diri di MRSM Betong.

        Pada awal tahun 2009, MRSM Betong menerima 25 orang guru dan 15 orang guru dari MRSM Mukah. Kemudiannya 9 orang guru melapor diri dan menjadikan guru di MRSM Betong keseluruhannya seramai 49 orang. Pada 17-19 Disember 2009, temuduga dijalankan bagi mengisi pelbagai kekosongan jawatan di MRSM Betong. Sehingga kini keseluruhan kakitangan MRSM Betong ialah seramai 28 orang dan bilangan guru pula seramai 57 orang.

        Pada 10 Februari 2009, seramai 150 orang pelajar Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 (termasuk 38 orang pelajar Tingkatan 1 dari MRSM Mukah) telah melapor diri di MRSM Betong. Kemudiannya, kemasukan pelajar Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 diambil secara berperingkat-peringkat dan menjadikan jumlah keseluruhan pelajar Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 ialah 247 orang pada tahun 2009. Pelajar ini menjadi kumpulan pertama pelajar MRSM Betong. Dengan kemasukan para pelajar, maka bermulalah sesi persekolahan pertama MRSM Betong pada 16 Februari 2009. Pelbagai program dan aktiviti telah dirancang untuk menjana kecemerlangan dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah. Semoga MRSM Betong terus mencipta kegemilangan dalam mendepani era globalisasi.